Adakah dunia sekeliling nampak semakin kabur atau silau bila kena cahaya terang? Sukar nampak signboard ketika memandu atau silau cahaya matahari ketika berjoging? Ramai anggap itu hanya tanda-tanda penuaan biasa, tetapi ia mungkin tanda-tanda awal katarak yang tidak boleh diabaikan.
Di Malaysia dan seluruh dunia, katarak peringkat awal sering tidak disedari kerana gejalanya perlahan dan tidak menyakitkan.
❓Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia …❓
Pada tahun 2020, lebih 94 juta orang di dunia mengalami masalah penglihatan akibat katarak dan jumlah ini dijangka terus meningkat.
Pengesanan awal sangat penting. Semakin awal ia dikenal pasti, semakin tinggi peluang untuk mencegah komplikasi serius seperti buta. Lebih penting, rawatan pembedahan katarak kini selamat, cepat dan berkesan.
Apa Itu Katarak?
Katarak berlaku apabila kanta semula jadi dalam mata menjadi keruh, menyebabkan cahaya tidak dapat menembusi retina dengan jelas. Akibatnya, penglihatan menjadi kabur, berkabut dan kusam.

Punca-Punca Umum:
- Penuaan: Punca paling biasa, terutamanya bagi mereka berusia 60 tahun ke atas.
- Trauma atau Kecederaan Mata
- Penyakit seperti diabetes: Paras gula tinggi mempercepatkan kerosakan kanta.
- Faktor genetik
- Pendedahan UV berlebihan: Sinar matahari tanpa perlindungan boleh merosakkan mata.
Golongan Berisiko Tinggi:
- Warga emas
- Pesakit diabetes
- Mereka yang banyak berada di luar rumah tanpa perlindungan UV
- Perokok dan pengambil alkohol berlebihan
Tanda-Tanda Awal Katarak
Katarak selalunya berkembang perlahan-lahan. Penting untuk mengenal pasti gejala walaupun nampak kecil:

1. Penglihatan Kabur atau Berkabut
Objek kelihatan seperti dilitupi kabus. Ini adalah salah satu simptom katarak mata yang paling awal.
2. Sensitif Terhadap Cahaya (Silau)
Mata terasa perih bila terkena cahaya terang — dari matahari atau lampu.


3. Penglihatan Berganda pada Sebelah Mata
Anda nampak berbayang atau berganda.
4. Perubahan Warna dan Kecerahan
Warna kelihatan pudar atau kekuningan. Kontras antara objek menjadi kurang jelas.


5. Kerap Tukar Cermin Mata atau Kanta Sentuh
Preskripsi berubah dengan cepat.
6. Sukar Melihat pada Waktu Malam
Lampu jalan atau kenderaan nampak terlalu silau, menyebabkan rasa takut memandu malam.

Kenapa Tidak Patut Tunggu Sampai Terlambat?
Katarak bukan seperti sakit kepala yang boleh hilang dengan ubat biasa. Ia tidak akan hilang sendiri, malah akan semakin teruk jika dibiarkan.
Jika tidak dirawat, katarak boleh menyebabkan:
- Kehilangan penglihatan kekal
- Risiko kemalangan, terutamanya ketika memandu
- Kualiti hidup yang menurun — sukar membaca, bekerja atau menikmati aktiviti seharian
Rawatan pembedahan katarak kini amat berkesan. Dengan teknologi moden, prosedur pembedahan katarak hanya mengambil masa sekitar 15-30 minit, dan kebanyakan pesakit boleh pulih dalam masa beberapa hari sahaja.
Apa yang Perlu Anda Lakukan Jika Mengesan Simtom Ini?
1. Jalani Pemeriksaan Mata Menyeluruh
Jika anda mula perasan gejala katarak mata, segera buat janji temu dengan pakar mata.
2. Dapatkan Penilaian Profesional
Doktor akan menilai tahap katarak dan bincangkan pilihan rawatan, sama ada pemantauan atau pembedahan katarak.
3. Jangan Buat Diagnosis Sendiri!
Elakkan menangguhkan rawatan atau bergantung pada produk tanpa bukti klinikal. Pemeriksaan mata profesional adalah langkah pertama yang paling penting.
Jangan tunggu lagi!

Katarak bukan pengakhiran. Ia masih boleh dirawat sepenuhnya jika dikesan awal melalui pemeriksaan profesional. Jangan tunggu sehingga penglihatan menjadi terlalu kabur baru hendak bertindak.
Ingat, tanda-tanda awal katarak mungkin nampak kecil, tetapi kesannya boleh jadi besar jika diabaikan. Lindungi penglihatan anda kerana ia terlalu berharga untuk masa depan.